Akmal Saleh tempelak Isham, minta turunkan ego
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh membidas kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil yang sebelum ini menggesa kepimpinan parti itu menurunkan ego berhubung isu penyatuan semula bekas ahli.
Menurut Akmal, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuka ruang penyertaan semula kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung tanpa syarat membuktikan sikap terbuka serta jiwa besar beliau demi memperkukuh parti.
Beliau berkata, pendekatan tersebut jelas menunjukkan kesediaan kepimpinan tertinggi parti untuk menerima kembali ahli yang pernah berdepan tindakan disiplin demi memperkuatkan semula saf perjuangan.
“Apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan penyertaan semula tanpa syarat, kita dapat melihat jiwa besar beliau untuk menerima kembali ahli yang pernah digantung atau dipecat.
“Yang sepatutnya menurunkan ego ialah Isham Jalil sendiri. Jika kita terus mencari kesalahan antara satu sama lain, sampai bila-bila pun kita akan terus berpecah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Akmal, setiap pihak dalam parti mempunyai kesilapan masing-masing dan perkara tersebut seharusnya dijadikan pengajaran bagi memperkukuh semula perpaduan dalam UMNO.
Beliau turut mengingatkan bahawa kepentingan agama dan bangsa perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi mana-mana individu.
“Cukuplah kita berpecah. Penyatuan demi agama dan bangsa jauh lebih penting daripada kepentingan diri,” katanya.
Terdahulu, Isham dilaporkan meminta Ahmad Zahid supaya merendahkan ego dengan berjumpa serta memohon maaf kepada pemimpin UMNO yang pernah dipecat atau digantung sekiranya benar-benar ikhlas membuka semula pintu parti itu kepada mereka.
Menurut bekas Ketua Penerangan UMNO itu, langkah tersebut wajar dilakukan berbanding meminta pemimpin yang terlibat untuk bertemu beliau, terutama ketika parti itu dikatakan berdepan cabaran mendapatkan semula sokongan menjelang Pilihan Raya Umum Malaysia akan datang.
Isham mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang memaklumkan bahawa UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali bersama parti itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















