BERITA SEMASA

Pernas teruskan tradisi CSR, bawa kegembiraan Aidilfitri untuk 70 anak yatim dan asnaf

SHAH ALAM – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meneruskan tradisi apabila menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan, CSR Sinar Ramadan 2026 bagi membawa pengalaman Hari Raya yang bermakna kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Program tahun ini melibatkan 70 kanak-kanak dari Pertubuhan Baitul Ehsan Alkhairi yang dibawa ke Jakel Mall Seksyen 7, Shah Alam, di sini semalam untuk sesi membeli sendiri kelengkapan Aidilfitri termasuk pakaian dan barangan raya lain.

Mereka ditemani dan dibantu oleh kakitangan Pernas bagi memastikan pengalaman itu menyeronokkan dan interaktif.

CSR Pernas
Program ini memberi pengalaman bermakna buat anak-anak yatim dan asnaf dalam memilih persiapan Aidilfitri mereka sendiri.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang lebih menumpukan majlis iftar bersama penerima dan kakitangan, program kali ini memberi peluang anak-anak memilih sendiri barangan raya mereka, sekali gus memupuk kegembiraan sambil mengeratkan hubungan antara Pernas dan penerima.

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M Taib.

Turut hadir barisan pengurusan kanan Pernas serta Pengarah Urusan Jakel Trading Sdn Bhd, Datuk Mohamed Izani Mohamed Jakel.

CSR Pernas
Kakitangan Pernas membantu anak-anak yatim dan asnaf memilih baju raya mereka.

“Bulan Ramadan mengajar kita nilai kasih sayang dan tanggungjawab. Melalui program ini, kami berharap anak-anak ini dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan dan kebahagiaan seperti yang lain, dalam suasana yang bermakna,” kata Nor Azam dalam satu kenyataan.

Selain sesi membeli-belah, program turut menyaksikan penyampaian cek bantuan kewangan kepada Pertubuhan Baitul Ehsan Alkhairi untuk keperluan pertubuhan serta pemberian duit raya kepada anak-anak yang terlibat.

CSR Sinar Ramadan 2026 dilihat sebagai simbol komitmen berterusan Pernas dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat, sambil mewujudkan impak positif dan hubungan bermakna bersama komuniti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button