BERITA SEMASAPMX

Anwar tersentuh, hargai keberanian tujuh pemuda selamatkan ibu dan dua anak di Tasik Biru

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap keberanian luar biasa tujuh pemuda yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil dalam nahas di Tasik Biru, Kundang, Isnin lalu.

Perdana Menteri berkata, beliau tersentuh
terhadap tindakan pantas kumpulan pemuda berkenaan yang terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan mangsa terlibat.

“Saya tersentuh tatkala membaca kisah keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil yang terlibat dalam nahas di Kundang kelmarin.

“Tindakan nekad mereka yang mendahulukan nyawa orang lain walaupun keselamatan diri sendiri menjadi taruhan telah menyelamatkan tiga nyawa.

“Penghargaan setulusnya buat tujuh pemuda ini. Keberanian dan keikhlasan kalian mencerminkan nilai kemanusiaan dan ihsan yang amat bermakna,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, wanita berusia lingkungan 40-an bersama dengan dua anak perempuannya yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan lanjut.

Susulan itu, Anwar mendoakan agar ibu serta kedua-dua anak kecil berkenaan diberikan kesembuhan dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button