Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kekacauan di Mexico
KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit atau terjejas dalam kekacauan yang berlaku di beberapa negeri di Mexico susulan operasi keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap kumpulan kartel dadah, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, perkara itu turut disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City yang sedang memantau rapi situasi keselamatan di negara berkenaan.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke Mexico dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, berhati-hati dan berhemah pada setiap masa, terutama di kawasan yang sedang menjalankan operasi keselamatan.
Rakyat Malaysia juga diminta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City telah mengeluarkan nasihat perjalanan dan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.
Kementerian menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan, dan perkembangan semasa akan terus dipantau dari semasa ke semasa.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City melalui telefon atau WhatsApp di +6016–810 0579 atau (52-155) 2080 8355 serta e-mel mwmexico@kln.gov.my.
Dalam perkembangan terbaru, lebih 75 dipercayai maut dalam operasi keselamatan pihak berkuasa Mexico yang mencetuskan serangan balas secara besar-besaran ahli kumpulan kartel berikutan terbunuhnya raja dadah El-Mencho semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






