BERITA SEMASAPMX

Kerajaan teliti implikasi ART-AS, PM minta ruang sebelum putuskan pendirian

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan pendirian Malaysia berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS), susulan perkembangan terkini melibatkan keputusan Mahkamah Agung negara itu dan tindakan susulan pentadbiran Washington.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan terburu-buru membuat keputusan memandangkan isu berkenaan melibatkan kepentingan ekonomi negara yang besar serta hubungan dua hala Malaysia-AS yang bernilai RM367.5 bilion.

“Kita akan terus memantau perkembangan ART ini kerana keputusan Mahkamah Agung AS masih belum muktamad dan kita juga menunggu pendirian Kongres.

“Malah, Presiden AS boleh menggunakan beberapa peruntukan undang-undang lain bagi mengekalkan tarif yang diputuskan sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung pendirian kerajaan terhadap keputusan Supreme Court of the United States yang membatalkan tarif dikenakan sebelum ini di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Menurut Anwar, kerajaan perlu diberi ruang untuk meneliti secara terperinci perkembangan dan implikasi keputusan eksekutif AS itu khususnya terhadap perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kita tunggu dahulu. Saya tidak katakan bahawa kita akan melanggar perjanjian ART mahupun tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah AS,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tarif sebanyak 15 peratus akan dikenakan ke atas Malaysia bagi tempoh 150 hari.

“Keputusan eksekutif ini memberi kesan sementara yang baik kepada Malaysia kerana ia turun daripada 19 peratus kepada 15 peratus,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini Malaysia masih belum menerima tarikh ratifikasi ART daripada pihak AS, sekali gus menyebabkan perjanjian itu masih tertangguh.

Anwar menegaskan bahawa isu berkenaan bukan perkara kecil kerana melibatkan puluhan ribu rakyat dan ratusan bilion ringgit dalam urusan perdagangan.

“Ini soal ekonomi besar. Jadi saya minta beri ruang kepada kerajaan untuk meneliti perkembangan dan implikasinya secara menyeluruh,” katanya.

Menurut beliau, Kabinet akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai isu tarif AS itu pada Jumaat ini bagi menentukan langkah seterusnya.

Pada 20 Februari lalu, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) yang sebelum ini menjadi asas kepada tindakan perdagangan oleh pentadbiran Trump.

Susulan keputusan itu, Trump dilaporkan menyatakan hasrat untuk menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus dan dalam satu kenyataan di platform Truth Social, beliau berkata kenaikan tersebut akan dilaksanakan di bawah Seksyen 122 dan berkuat kuasa serta-merta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button