BERITA SEMASA

MPSepang laksana sepenuhnya Sistem iPMS, perkukuh ketelusan perolehan

CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) kini melaksanakan sepenuhnya Sistem Pengurusan Perolehan Pintar (Intelligent Procurement Management System – iPMS) sebagai platform rasmi bagi semua urusan sebut harga dan tender majlis itu.

Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad berkata, sistem berkenaan dibangunkan sebagai hab utama pendaftaran kontraktor dan pembekal bagi memudahkan proses pendaftaran serta pengurusan data secara berpusat.

“Segala urusan perolehan direkodkan secara digital, dapat dijejaki dan dipantau sekali gus mengurangkan risiko salah faham, kecuaian serta tohmahan tidak berasas.

“Ia juga mencerminkan komitmen organisasi dalam memperkukuh tadbir urus yang baik serta menegakkan prinsip keadilan dan akauntabiliti,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang di sini, hari ini.

Menurut beliau, sistem iPMS telah dilancarkan pada 28 Januari lalu dengan penyertaan 334 syarikat melibatkan 668 peserta.

“Antara manfaat penggunaan sistem ini adalah untuk memudahkan kontraktor dan pembekal mengisi dokumen sebut harga atau tender secara lebih cepat dan efisien tanpa perlu menghantar dokumen fizikal ke dalam peti tender.

“Selain itu, keputusan pelantikan kontraktor atau pembekal boleh diakses secara dalam talian dalam tempoh 24 jam selepas mesyuarat perolehan bersidang.

“Maklumat berkaitan sebut harga dan tender juga boleh diaudit dengan lebih mudah sekali gus meningkatkan tahap ketelusan dalam sistem pengurusan perolehan majlis,” katanya.

Tambah beliau, bermula 1 Februari 2026, semua urusan perolehan MPSepang dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian melalui iPMS.

Sehubungan itu, semua kontraktor, pembekal dan perunding diwajibkan menggunakan sistem berkenaan bagi setiap urusan perolehan dan pendaftaran melalui portal rasmi MPSepang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button