BERITA SEMASA

Kerajaan teliti cadangan baharu siapkan Lebuhraya MEX II

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan baharu bagi menyiapkan projek Lebuhraya MEX II yang menghubungkan Persimpangan MEX Putrajaya ke Lebuhraya KLIA.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri menerima cadangan baharu itu daripada penerima dan pengurus (R&M) projek berkenaan Disember lalu.

“Kerajaan kini sedang meneliti cadangan tersebut sebelum ia dibentangkan untuk keputusan Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau berkata, syarikat konsesi Lebuhraya MEX II sebelum ini telah diberikan notis ingkar oleh pemegang sukuk pada 2022 dan susulan itu, semua obligasi konsesi diserahkan kepada R&M yang dilantik oleh pemegang sukuk bagi menyelesaikan isu kewangan serta seterusnya menyiapkan baki pembinaan projek berkenaan.

Katanya, isu berkaitan penyiapan baki kerja projek Lebuhraya MEX II masih belum dimuktamadkan kerana perkara melibatkan aliran tunai, kos pembiayaan, analisis impak trafik, tempoh konsesi, kadar tol serta faktor berkaitan lain bagi memastikan projek kekal berdaya maju dari segi kewangan masih belum diselesaikan.

Alexander berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang ingin mengetahui punca kelewatan projek tersebut.

Projek berkenaan kembali menjadi perhatian umum susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan RM360 juta, tahun lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button