Kereta warga emas dilarikan suspek berpura-pura tanya arah
KULAI – Seorang wanita warga emas berputih mata selepas keretanya dilarikan seorang lelaki yang berpura-pura bertanya arah dalam kejadian di parkir sebuah pasar raya di Taman Putri, di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia lingkungan 70-an meletakkan kereta jenis Perodua Viva berwarna biru gelap sebelum berjalan menuju ke pintu masuk premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek yang memakai pelitup muka menghampiri mangsa dan berlagak seolah-olah mahu mendapatkan bantuan bertanyakan arah.
“Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba merampas kunci kenderaan yang berada di tangan mangsa sebelum melarikan kereta tersebut dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, mangsa tidak mengalami kecederaan, namun kehilangan kenderaan yang dianggarkan bernilai sekitar RM5,000.
Tambahnya, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/379A Kanun Keseksaan kerana samun dan curi kenderaan.
Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial Threads selepas dimuat naik oleh sebuah portal berita yang memaparkan detik sebuah kenderaan dilarikan seorang individu.
Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan sedang giat mengesan suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di talian 07-663 2222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Arun Ramamoorthy di 013-333 2385 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








