7 maut dalam serangan bar di Mexico
MEXICO CITY – Sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah bar, mengakibatkan tujuh maut dan lima lagi cedera parah dalam serangan berdarah di bandar itu, awal pagi semalam.
Polis mengesahkan bahawa empat mangsa ditemui maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan susulan insiden yang berlaku di Tula, kira-kira 97 kilometer di utara ibu negara, Bandar Raya Mexico.
Menurut saksi, beberapa lelaki bersenjata dilaporkan menyerbu bar ‘La Resaka’ yang terletak di kawasan kejiranan kelas pekerja di bandar itu pada awal pagi Sabtu sebelum melepaskan tembakan secara rambang, memetik laporan AFP.
Berikutan serangan tersebut, pasukan keselamatan persekutuan dan negeri melancarkan operasi besar-besaran bagi memburu suspek, namun sehingga kini masih tiada tangkapan dibuat.
Bandar Tula yang terletak dalam negeri Hidalgo sememangnya dikenali sebagai kawasan tumpuan kumpulan jenayah yang terlibat dalam penyeludupan bahan api curi.
Namun, insiden pembunuhan beramai-ramai seperti itu jarang berlaku di wilayah tersebut.
Biro Keselamatan Negeri Hidalgo turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa mengesan wujudnya pertikaian antara kumpulan samseng yang bersaing di Tula sebelum serangan berlaku.
Sementara itu, media tempatan melaporkan konflik dalaman turut tercetus selepas penahanan seorang individu yang dipercayai ketua kumpulan samseng tempatan baru-baru ini.
Sejak kerajaan memulakan operasi besar-besaran membanteras kartel pada tahun 2006, Mexico terus berdepan gelombang keganasan dengan kira-kira 480,000 nyawa terkorban, kebanyakannya berkaitan aktiviti pengedaran dadah manakala lebih 120,000 orang masih dilaporkan hilang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



