Ustaz Don kembali kemudi Program Salam Baitullah di TV1
KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid telah menyambung semula tugasnya sebagai pengacara program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, malam tadi.
Pengembalian beliau diumumkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, beliau mengesahkan Ustaz Don kembali mengacara program tersebut selepas direhatkan berikutan kontroversi yang melibatkan perkongsian mengenai kisah Nabi Muhammad SAW, lapor BH online.
“Iya betul.. Ustaz Don kembali malam ini,” katanya kepada pemberita.
Katanya, keputusan untuk membenarkan Ustaz Don kembali ke udara diambil selepas pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ustaz Don bagi membincangkan kontroversi yang tercetus.
Terdahulu, Suhaimi mengesahkan bahawa Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah yang disiarkan secara langsung di TV1 sejak 2 Jun lalu.
Ustaz Don dilaporkan direhatkan selepas timbul pertikaian daripada netizen mengenai kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang beliau ceritakan ketika bersiaran di stesen radio, sehingga mengundang kritikan dari pelbagai pihak.
Kontroversi tersebut mendorong Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa kenyataan Ustaz Don mengenai kisah Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW adalah diragui.
Susulan kontroversi tersebut, Ustaz Don telah dipanggil untuk bertemu dengan pihak JAKIM, yang turut disertai oleh wakil dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil.