Berita Semasa

MAIS tolak rayuan Ustaz Don dapatkan semula tauliah mengajar

Boleh mohon tauliah baharu selepas setahun

SHAH ALAM – Rayuan pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Bon Bijayid bagi mendapatkan semula tauliah mengajarnya ditolak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Menurut Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, jawatankuasa tauliah membuat ketetapan menolak rayuan itu selepas penelitian terhadap penarikan tauliah ke atasnya dibuat pada 24 Julai lalu.

“Beliau ada buat rayuan tapi selepas sesi pendengaran jawatankuasa tauliah memutuskan menolak rayuan tersebut.

“Ia selepas didapati ada perkara yang bercanggah dengan peraturan ditetapkan,” katanya mengulas berkenaan status tauliah mengajar pendakwah berkenaan.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditemui pada program Ijtima’ Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2024 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, Ustaz Don masih boleh memohon mendapatkan tauliah baharu selepas satu tahun.

“Walaupun rayuan ditolak, beliau masih boleh buat permohonan semula tapi syaratnya adalah selepas setahun.

“Beliau ada pengalaman dan tak ada masalah untuk itu, cuma jangan ulang kesilapan lalu,” katanya.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini membuat ketetapan menarik tauliah mengajar Ustaz Don berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah.

Difahamkan Ustaz Don telah mengemukakan rayuan pada 14 Ogos lalu sebelum rayuan itu ditolak pada 17 September.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button