Berita Semasa

Ekonomi Madani jadi kerangka baharu lonjak ekonomi negara

KUALA LUMPUR – Pelancaran Ekonomi Madani : Memperkasa Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan menjadi kerangka ekonomi baharu untuk mengangkat martabat negara sebagai pemain ekonomi utama di rantau ini.

Anwar berkata, kerangka itu memberi tumpuan kepada tujuh penanda aras sebagai matlamat yang mahu dicapai dalam masa sedekad antaranya meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 ekonomi terbesar di dunia.

Matlamat lain termasuk menduduki tangga ke 12 dalam Indeks Daya Saing Global, tangga ke 25 teratas dunia dalam Indeks Pembangunan Manusia dan meningkatkan pendapatan pekerja kepada 45 peratus.

Sasaran lain termasuk menduduki tangga ke 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah, sasaran defisit fiskal 3 peratus atau lebih rendah dan kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan melebihi 60 peratus.

“Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih berkualiti.

“Ini adalah sebuah rencana menyeluruh dan teliti bagi menghadapi pelbagai tantangan saat ini mencakupi isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.

“Juga membabitkan isu semasa yang perlu segera ditangani seperti kenaikan kos sara hidup yang mengesankan rakyat,” katanya dalam ucapan sempena Pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button