BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Arahan ‘clearkan’ RM1 juta bukti Syed Saddiq tidak jujur – Timbalan Pendakwa Raya

PUTRAJAYA – Tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Hakim Razali agar ‘membersihkan’ wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun bank parti disifatkan sebagai tidak jujur.

Hujahan itu dilontarkan pihak pendakwaan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada sambungan prosiding rayuan mengenepikan empat sabitan serta hukuman bersalah berkaitan dana Armada di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, Syed Saddiq mengarahkan saksi pendakwaan ke-13 (SP13) itu untuk ‘clearkan’ wang tersebut susulan bimbang wang tersebut akan disita oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tertuduh dalam pembelaannya menyatakan dia tidak pernah mengeluarkan arahan itu. Semasa pemeriksaan balas peguam, SP13 bersetuju bahawa beliau menerima arahan tersebut daripada Syed Saddiq.

“Ditanya peguam apa maksud ‘clearkan’, SP13 menjawab jangan simpan duit itu di dalam rumah saya dan ditanya clear maksudnya dispose?, SP13 menjawab ‘Ya’,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button