
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menerima rayuan pengendali Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd dan tidak akan meneruskan tindakan berdasarkan notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.
Bagaimanapun, pengendali tersebut tetap dikenakan kompuan sebanyak RM250,000, bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok radio berkenaan.
Kompuan itu dikeluarkan setelah menerima izin Jabatan Peguam Negara, kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
“Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan telah dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd.
“Pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut, hari ini.
MCMC kemudian berkata, pihaknya memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara,” kata MCMC lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment