Berita Semasa

Pulangan dividen MKD, BPP yang lebih tinggi manfaatkan rakyat

PUTRAJAYA – Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) digesa supaya meningkatkan pulangan dividen kepada kerajaan bagi digunakan sebagai pembangunan dan bantuan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peningkatan dividen dapat dilaksanakan sekiranya MKD dan BPP melaksanakan usaha tadbir urus dan kaedah penguruan syarikat yang terbaik mengikut kaedah peringkat antarabangsa.

“Sumbangan pendapatan kerajaan oleh syarikat MKD yang merupakan dividen adalah RM50.74 bilion pada tahun lalu, jadi kita harap tahun ini pulangan diberikan akan meningkat,” kata Ahmad pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kepimpinan dan Tadbir Urus Baik Lembaga Pengarah Syarikat MKD dan BPP di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Jelas Ahmad, setiap MKD dan BPP mempunyai nilai peratusan dividen tersendiri yang disumbangkan kembali kepada kerajaan.

Tambahnya, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan tiga syarikat MKD dan BBP yang memberi pulangan tertinggi kepada kerajaan.

“Segala dividen ini akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan seterusnya berikan semula oleh kerajaan dalam bentuk pembangunan serta bantuan kepada rakyat,” kata Ahmad lagi.

Beliau bagaimanapun mengakui, terdapat MKD dan BBP yang tidak mencapai peratusan pulangan yang ditetapkan disebabkan beberapa faktor, terutamanya syarikat perkhidmatan pengangkutan dan infrastruktur yang memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Contohnya Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang sedang membina Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula tidak mencatatkan keuntungan kerana tidak dibenarkan menaikkan tambang tiket sewenang-wenangnya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button