
Pemandu halang laluan ambulans didenda RM300
JOHOR BAHRU – Gara-gara tidak memberikan laluan kepada ambulans, seorang pemandu kenderaan pelbagai guna dikenakan tindakan saman RM300.
Dalam kejadian di KM 14 Lebuhraya Pasir Gudang, dekat sini pagi semalam, pelaku berjaya dikesan polis selepas video kejadian itu tular.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya telah mengesan satu rakaman video berdurasi 47 saat pada 3.30 petang semalam menerusi media sosial yang memaparkan pemandu van jenis Toyota Hiace berusia 38 tahun menghalang laluan ambulans.
Katanya, van berwarna putih itu dilihat tidak mengendahkan untuk memberikan laluan walaupun siren telah dibunyikan serta lampu mata arah telah dinyalakan, hingga ambulans itu terpaksa memotong di lorong kiri.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seri Alam telah mengesan pemandu berkenaan dan telah mengenakan tindakan saman RM300 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 9(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 166/59 kerana tidak memberikan laluan kepada kenderaan polis/ambulans/bomba/penjara/kastam/Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Sohaimi berkata lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 56(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu vokasional (GDL).
Tambahnya lagi semakan juga mendapati dia mempunyai tujuh saman kesalahan trafik, namun tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |