Berita Semasa

KPKT fokus empat kriteria penting bagi rangka peruntukan Belanjawan 2024

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memfokuskan empat kriteria penting dalam merangka peruntukan bagi dimasukkan dalam Belanjawan 2024 nanti.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kriteria dimaksudkan adalah memberi manfaat terus kepada rakyat, memberi kesan segera kepada kumpulan sasaran, segera dilaksanakan dan bersifat ‘one-off’ iaitu digunakan untuk 2024 serta tidak membabitkan implikasi kewangan pada tahun seterusnya.

“Sesi libat urus ini dilaksanakan dengan pemegang taruh bagi mendapatkan input, cadangan serta pandangan berhubung inisiatif belanjawan ini.

“Jadi, bagi Belanjawan 2024 ini, KPKT berharap segala pandangan, cadangan yang diberikan, akan memberi penekanan penting kepada kriteria terbabit,” katanya.

Kor Ming berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Sesi Libat Urus Inisiatif Belanjawan 2024 Bersama Pemegang Taruh KPKT, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.

Mengenai inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2023, beliau berkata, kebanyakan inisiatif sudah dilaksanakan dengan beberapa lagi masih dalam peringkat pelaksanaan.

Antaranya, penggantian dan penyelenggaraan lif yang usang di Program Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta serta penyelenggaraan longkang dan perparitan (RM130 juta).

Selain itu, pembinaan sebanyak 4,250 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) membabitkan peruntukan berjumlah RM358 juta dan membina baharu serta menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk perniagaan di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Semua inisiatif ini sedang dilaksanakan dan dijangka selesai menjelang penghujung tahun ini,” katanya.

Dalam Belanjawan 2023, KPKT menerima peruntukan sebanyak RM5.333 bilion, peningkatan berbanding RM5.146 bilion pada tahun 2022.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button