Berita Semasa

Majikan tidak benar mengundi boleh dikenakan tindakan

MARANG – Majikan yang enggan membenarkan pekerja melaksanakan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan bakal berdepan tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, mengikut undang-undang dibawah peruntukan Subseksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara selama setahun bagi kesalahan itu.

Beliau berkata, majikan juga perlu membenarkan kakitangan untuk mengambil cuti tahunan untuk menunaikan tanggungjawab tersebut.

“Semua majikan perlu patuh dan benarkan pekerja mereka pulang untuk turun mengundi. Sekiranya ada majikan tak benarkan, pekerja boleh buat aduan pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu dan tindakan segera akan diambil pada majikan terbabit.

“Jadi saya nasihatkan majikan di negara ini supaya patuh akta ditetapkan selain benarkan pekerja-pekerja mereka pulang mengundi pada PRN tidak lama lagi diadakan,” katanya kepada pemberita selepas program Sesi Libat Urus Tripartite 2023 Zon Timur di sini pada Selasa.

Hari pengundian bagi PRN enam negeri (PRN) akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini.

PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button