Berita SemasaPM X

Perubahan landskap politik negara bawa limpahan ekonomi Malaysia-Indonesia

JAKARTA – Perubahan landskap politik di Malaysia akan disusuli perubahan dalam pembangunan ekonomi dan perniagaan bersama negara dan jiran serumpun, Indonesia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejatuhan kerajaan sebelum ini yang banyak terpalit dengan amalan rasuah  seharusnya membuka peluang pembangunan dan pelaburan yang lebih baik di antara kedua-dua negara.

Dalam memanfaatkan situasi itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan membuka  peluang ekonomi lebih luas dengan memudahkan urusan dan mengurangkan karenah yang tidak sepatutnya.

“Itulah yang saya katakan bahawa perubahan dalam landskap politik mesti diterjemahkan ke dalam cara menjalankan perniagaan. Itu sebabnya penting ketelusan dan perlunya kita hapuskan komisyen.

“Komuniti perniagaan menyatakan hasrat dengan sangat jelas bahawa kemudahan menjalankan perniagaan, kadar kelulusan yang pantas di bahagian berbeza khususnya MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)…kita memberi jaminan bahawa keadaan akan berubah.

“Pada ketika ini perkara paling asas adalah ekonomi kerana kita berdepan dengan kemelut yang belum ada kepastian dan penyelesaian akibat Covid-19.

“Tidak dinafikan Indonesia adalah rakan perdagangan yang penting buat Malaysia,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan beliau ke Indonesia, petang tadi.

Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melakukan Lawatan Negara ke Indonesia selama dua hari bermula Ahad.

Ia merupakan lawatan sulung beliau ke luar negara sejak dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lepas.

Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Dalam sidang media terdahulu di Istana Kepresidenan Bogor, Presiden Jokowi berkata, menyambut baik minat Malaysia melalui kerjasama swasta untuk terlibat dalam pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Nusantara.

“Sebanyak 11 surat minat (Letters of Intent) ditandatangani oleh pihak swasta Malaysia yang diserahkan kepada kerajaan Indonesia khususnya dalam bidang elektronik, kesihatan dan pembangunan hartanah.

“Ada juga MoU dalam bidang perkapalan, eksport-import, pengembangan industri dan lain-lainnya telah ditandatangani,” katanya.

Selain itu, Jokowi juga menghargai keprihatinan Anwar untuk menyelesaikan isu-isu berhubung  pekerja Indonesia di Malaysia.

“Saya menyambut baik hasrat Anwar Ibrahim untuk melindungi pekerja Indonesia dan berharap sistem satu saluran (untuk mengurangkan penglibatan ejen pembantu rumah) yang disuarakan beliau akan menjadi kenyataan,” katanya.

Jokowi juga mahu Anwar mempertimbangkan penubuhan Pusat Pendidikan Komuniti untuk anak-anak warga Indonesia yang menetap di Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button