Berita Semasa

Operasi LRT,MRT, monorel dilanjutkan Sabtu ini

CYBERJAYA – Waktu operasi beberapa stesen rel terpilih akan dilanjutkan hingga pukul 1.30 pagi, Sabtu ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelanjutan waktu itu adalah bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir bagi menyambut Aidilfitri.

Menurut kenyataan itu, stesen terlibat bagi transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang dan Sri Petaling ialah Stesen Masjid Jamek manakala bagi laluan LRT Kelana Jaya ialah Masjid Jamek dan KLCC.

Bagi laluan monorel pula, pelanjutan waktu operasi itu melibatkan Stesen Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit sementara transit aliran massa (MRT) laluan Kajang hanya di stesen Bukit Bintang.

Sementara itu, perkhidmatan bas perantara LRT 11 turut dilanjutkan bagi membolehkan pengguna mengakses ke stesen berkenaan susulan penutupan enam stesen LRT Laluan Ampang atau Sri Petaling.

“Stesen sambungan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir manakala stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

“Warga kota disaran menggunakan pengangkutan awam hujung minggu ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam pusat bandar,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi memudahkan perjalanan, penumpang turut dinasihatkan supaya menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal.

Show More

Related Articles

Back to top button