Kesal kes kalimah Allah ditarik balik, Muhyiddin dakwa DAP pernah minta kes sama diselesaikan luar mahkamah ketika menjadi Menteri Dalam Negeri
KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), terdapat menteri daripada parti DAP yang meminta supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland berhubung isu kalimah Allah di luar mahkamah.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana ia bermaksud KDN perlu menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.
“Pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang. Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, Kerajaan Perikatan Nasional pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes ini mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.
“Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana kes mahkamah, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan juga adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Malah beliau menegaskan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing dan titah ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan.
“Saya kesal dengan keputusan kerajaan PH-BN menarik balik rayuan dalam kes yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.
“Sepatutnya, biarlah kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.
“Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan, iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai,” ujarnya.