Berita SemasaPolitik

PAS lebih layak pimpin PN – Mursyidul Am

KUALA LUMPUR – PAS menegaskan bahawa parti itu lebih layak mengetuai Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kekuatan sokongan dan jumlah kerusi Parlimen yang dimilikinya, sekali gus menolak cadangan supaya Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan tersebut.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu mempunyai rekod cemerlang serta jentera akar umbi yang kuat di seluruh negara, menjadikan PAS pilihan utama untuk memimpin PN.

“Walaupun PAS hanya memegang jawatan timbalan dalam PN, rekod kita di Parlimen lebih menyerlah selain kerja-kerja kemasyarakatan yang dijalankan.

“Ini menunjukkan PAS lebih layak untuk memimpin,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Hashim turut menegaskan bahawa PAS tidak menghadapi isu lompat parti, berbanding Bersatu yang menyaksikan beberapa wakil rakyatnya berpaling tadah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika ini, PAS memiliki 43 kerusi Parlimen, menjadikannya parti dengan jumlah kerusi terbesar dalam PN, berbanding Bersatu yang hanya mempunyai 25 kerusi selepas enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS juga kini memerintah empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

Kenyataan Hashim itu dibuat sebagai respon terhadap Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yang menegaskan Muhyiddin adalah calon tunggal jawatan Perdana Menteri bagi PN pada pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan turut menyokong cadangan tersebut, mengatakan Muhyiddin perlu kekal sebagai ‘poster boy’ PN selepas mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Bersatu baru-baru ini.

Namun, Hashim menegaskan bahawa keputusan berhubung calon Perdana Menteri PN perlu dibuat secara bersama antara parti-parti gabungan.

“Menentukan siapa yang layak untuk jawatan Perdana Menteri memerlukan perbincangan panjang berdasarkan realiti politik dan kekuatan parti,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tiada isu berbangkit mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri PN buat masa ini.

Show More

Related Articles

Back to top button