Berita Semasa

Semarakkan aktiviti wakaf – PM Anwar

CYBERJAYA – Semua pihak, termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digesa supaya menyemarakkan aktiviti wakaf.

Gesaan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya sempena Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan.

Beliau berkata, aktiviti wakaf ini merupakan tradisi yang mesti dihidupkan dan pihak yang terlibat boleh memilih untuk menetapkan kaedah dan keutamaaan dalam bidang-bidang tertentu.

“Wakaf ini merupakan tradisi Rasullah SAW yang mewakafkan kebun kurma di Madinah dan tradisi ini mesti kita hidupkan,” katanya dalam rakaman ucapan tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi program Assalamualaikum siaran TV Hijrah, pagi tadi.

Tambah beliau, kerajaan turut mengkaji dan meneliti tanah wakaf sedia ada untuk dibangunkan seperti mana yang telah diusahakan di seluruh negara.

“Insya Allah saya juga dapat memantau syarikat kerajaan untuk mencari hala tuju baharu bagi mendekatkan usaha sedemikian,” kata Anwar lagi.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan mengumumkan inisiatif Wakaf Madani yang dalam masa terdekat.

“Semasa Belanjawan 2023 baru-baru ini saya ada umumkan pembentukan Wakaf Madani dengan aset RM1bilion dan dalam masa terdekat kita boleh umum perancangan serta langkah-langkah untuk memajukan wakaf secara keseluruhan,” katanya lagi.

Pada 24 Februari lalu, Anwar berkata, aset Wakaf Madani itu terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan serta pendidikan itu akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.

Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf yang dipengerusikan olehnya dengan objektif wakaf menyumbang 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button