KKM laksanakan persampelan air kumbahan kesan Covid-19 varian baharu
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mula melaksanakan survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan dan mengesan kehadiran virus SARS-CoV-2 dengan varian Omicron.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr, Noor Hisham Abdullah berkata, ujian yang dilaksanakan sejak Jun 2022 itu, telah menerima sejumlah 330 sampel air kumbahan dengan 29 sampel (8.8 peratus) dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan 301 (91.2 peratus) sampel dari lokasi sentinel.
“Susulan itu, KKM mengesan 29 sampel dari PMA ini. Hasil pengujian makmal menunjukkan 28 sampel (96.5 peratus) mempunyai kehadiran SARS-CoV-2 dengan varian Omicron dan satu masih dalam proses pengujian.
“Daripada 28 sampel ini, 15 daripadanya iaitu 53.6 peratus telah lengkap ujian WGS dan didapati sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Noor Hisham berkata, bagi 301 sampel lokasi sentinel, 288 (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARS-CoV-2, tiga lagi tidak dikesan manakala 10 masih dalam proses pengujian.
Katanya, daripada 288 sampel positif Omicron ini, 32 (11.1 peratus) telah lengkap ujian WGS dengan sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12.
“Seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA ini akan turut melibatkan sampel dari negara China. Ini akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara China sebagai salah satu langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa ini,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 4,148 kes Covid-19 yang dikesan dalam negara dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7 bersamaan lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di China masa ini.
Jelas Noor Hisham, jumlah terbabit dicatatkan sehingga 31 Disember lalu, namun belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.1.