Jenayah & Mahkamah

Ustaz warga Singapura ditahan lagi kes amang seksual pelajar lelaki

AYER KEROH – Seorang pengetua dan seorang warden di sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak dan Alor Gajah di sini ditahan polis bagi membantu siasatan kes jenayah seksual terhadap pelajar lelaki.

Suspek yang merupakan adik-beradik berusia 40 tahun dan 36 tahun itu  di tahan di pusat tahfiz di Tanjung Minyak antara pukul 1 hingga 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, penahanan dua suspek itu dibuat selepas pihaknya menerima 6 laporan daripada ibu bapa pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun itu.

“Dalam kejadian terbaharu pada 7 Mei lalu,  tiga pelajar mendakwa telah dicium, diarah menghisap dan mengurut kemaluan pengetua iaitu suspek pertama berusia 40 tahun warga Singapura yang juga pengasas pusat tahfiz berkenaan.

“Manakala tiga lagi pelajar dikatakan telah didera secara fizikal kerana enggan menuruti arahan lain dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh suspek kedua, iaitu warden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah pusat bimbingan tahfiz di Tanjung Minyak dan juga Alor Gajah serta  sebuah kondominium di Klebang, Melaka.

“Semakan lanjut mendapat, suspek pertama mempunyai dua rekod lampau iaitu Seksyen 377B Kanun Keseksaan (kesalahan meliwat) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (amang seksual fizikal) manakala adiknya tiada rekod kesalahan lalu.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok bagi membantu siasatan  di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Seksyen 14(a) memperuntukan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan manakala bagi Seksyen 31(1)(a), pesal  boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Show More

Related Articles

Back to top button