Berita Semasa

AFMGM: PM bakal tekankan ASEAN perkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penekanan terhadap keperluan negara-negara ASEAN, membentuk satu kesepakatan dalam mengukuhkan lagi ekonomi dan perdagangan di rantau Asia Tenggara.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata, penekanan itu akan dibuat pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-12 (AFMGM) bermula minggu ini.

“Perdana Menteri akan bertemu dengan para pelabur ASEAN dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Pelaburan ASEAN pada Selasa ini.

“Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri majlis penutup AFMGM pada 10 April ini,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim
Kira-kira 300 delegasi terdiri daripada Menteri Kewangan ASEAN, Gabenor Bank Pusat, pegawai daripada Institusi Kewangan Antarabangsa dan wakil sektor swasta akan menghadiri AFMGM yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga 10 April ini.

Selain itu, Nashrul berkata, Perdana Menteri juga akan memanjangkan perbincangan yang diadakan bersama ketua-ketua negara ASEAN tempoh hari terkait isu tarif Amerika Syarikat yang mana perkara ini memerlukan perbincangan dan rundingan yang menyeluruh bagi membawa suara komuniti ASEAN.

Berhubung impak geoekonomi susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan tentang langkah proaktif yang telah, sedang dan bakal diambil berasaskan kepada pendekatan ‘whole-of-nation’.

“Langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan termasuklah pengaktifan semula Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri.

“Langkah seterusnya, penubuhan pasukan petugas oleh MITI untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada industri, mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN serta rundingan strategik peringkat tertinggi secara langsung dengan Amerika Syarikat.

“Kerajaan turut berusaha memperluas dan mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia ke rantau-rantau serta blok ekonomi baharu dan meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan baharu,” katanya.

Nashrul berkata, langkah-langkah tersebu akan memperkukuh daya tahan negara, menstabilkan pasaran dan melindungi pekerjaan serta pelaburan rakyat.

Mengulas lanjut, Nashrul berkata, walaupun lanskap ekonomi dunia sedang berhadapan dengan situasi sukar, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan daya tahan ekonomi Malaysia kuat, berupaya menampung gelombang ini untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Yang penting, kesemua sektor perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan pendekatan senegara bagi menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi kita,” katanya.

Tambah Nashrul, kerajaan Madani akan melipat gandakan komitmen memelihara dan memastikan akses pasaran tidak terjejas, selain terus menarik pelaburan asing, meneruskan agenda reformasi ekonomi.

Jelas beliau, ia adalah bagi menyokong rantaian bekalan, serta kesejahteraan pekerja serta perniagaan di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button