Sindiket pemerdagangan manusia: 4 pegawai imigresen ditahan bersama 63 warga Indonesia
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang turut didalangi pegawai jabatan itu dalam satu operasi yang dilakukan di Bintulu, Sarawak.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, dalam operasi yang dijalankan kelmarin pasukannya telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 38 tahun yang dipercayai ketua kepada sindiket berkenaan.
“Operasi yang dikenali sebagai ‘Ops Kenyalang’ ini dilaksanakan setelah pemerhatian dan risikan yang dilakukan hampir 3 bulan. Serbuan dilakukan di sebuah premis kediaman di bandar Bintulu.
“Dalam operasi berkenaan, pasukan telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 38 tahun yang dipercayai ketua kepada sindiket berkenaan.
“Lelaki ini ditahan ketika menguruskan warga asing ini di rumah penampungan. Pasukan operasi juga telah berjaya menahan seramai 63 orang warga Indonesia yang terdiri daripada 37 lelaki dan 26 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, mereka yang ditahan berumur di antara 22 hingga 52 tahun dengan seramai 30 orang telah ditahan di rumah transit berkenaan.
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM25,000 dan Rp3 juta. Mereka ini merupakan orang yang telah disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan daripada memasuki Malaysia. Kesemua mereka yang ditahan ini telah mempunyai tiket penerbangan ke Kuala Lumpur,” ujarnya
Sementara itu katanya, seramai 33 orang lagi telah ditahan semasa pemeriksaan bas dilakukan di sekitar bandar Bintulu.
Katanya, pemeriksaan ini dilakukan terhadap dua buah bas yang disyaki membawa warga asing ini berdasarkan maklumat yang di terima.
“Dalam operasi yang sama pasukan telah menahan empat orang pegawai imigresen yang disyaki terlibat dengan sindiket berkenaan.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengatur pergerakan masuk warga asing yang telah disenaraihitamkan dengan dibantu oleh pegawai imigresen.
“Sindiket akan menguruskan seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kali kemasukan. Pegawai imigresen ini akan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasinya,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, kesemua warganegara asing itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah sementara empat pegawai imigresen dan ketua sindiket pula disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.