21 pengikut ajaran Syiah ditahan di Pendang
ALOR SETAR – Seramai 21 orang dipercayai pengikut fahaman Syiah ditahan dalam serbuah oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, Pendang, kelmarin.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama negeri Kedah, Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin berkata, serbuan pada pukul 9.50 malam itu dibuat selepas JHEAIK menerima laporan mengenai satu perhimpunan yang akan diadakan sempena mengingati imam Syiah iaitu Imam Hasan Al-Askari.
Katanya, serbuan dengan iringan pasukan polis itu dilakukan di sebuah rumah milik Abdullah Hassan yang merupakan ketua Syiah di Kedah.
“Turut dirampas adalah kitab-kitab dan barangan yang dikaitkan dengan ajaran berkenaan.
“Kesemua 21 individu yang ditahan di rumah berkenaan terdiri daripada enam lelaki, sembilan wanita dan enam kanak-kanak, berusia antara tiga hingga 77 tahun.
“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Pendang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainul Mukhtar berkata, penahanan individu terbabit seiring dengan ajaran dan fahaman Syiah yang diwartakan pada 15 Jun 2014 sebagai bercanggah dan menyeleweng dari ajaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Katanya, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 9 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune