LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi di sekitar Pantai Remis pada 8 dan 9 November lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi yang dinamakan Op Pelantar itu dilaksanakan secara bersepadu antara pihaknya dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, melibatkan 322 anggota dengan dua aset laut.
“Operasi ini dijalankan hasil maklumat risikan dan pemantauan berterusan yang mendapati berlaku penambahan jumlah yang mencurigakan dalam kalangan nelayan warga asing yang bekerja di atas bot.
“Antara kawasan tumpuan operasi adalah di kawasan jeti-jeti utama bot-bot nelayan dan kawasan penginapan nelayan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam satu hantaran di akaun Facebook Maritim Malaysia, hari ini.
Beliau kemudiannya menjelaskan, daripada 153 pemeriksaan dilaksanakan, 76 warga asing daripada Myanmar, Kemboja, Thailand dan Indonesia yang berusia lingkungan 4 bulan hingga 61 tahun, berjaya ditahan.
“Kesemua suspek ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan di bawah Peratuan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan,” katanya lagi.
Kesemua suspek kemudiannya dihantar ke Depot Imigresen Ipoh, Perak untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya terdapat sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh terus menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera,” katanya lagi.