JIM tumpas sindiket seludup PATI Kelantan, 47 ditahan
PUTRAJAYA – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan rangkaian sindiket penyeludupan manusia dalam satu operasi khas yang dijalankan di sekitar Rantau Panjang, Kelantan pada 20 November lalu.
Operasi yang bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Pasukan Taktikal Khas Imigresen (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan.
Berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan mengesan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
“Motosikal tersebut dilihat berulang alik mengangkut penumpang dari pengkalan haram ke lokasi van yang sedang menunggu penumpang.
“Pasukan operasi bertindak mengepung lokasi dan berjaya menahan van dan motosikal tersebut.
“Seorang lelaki warganegara Thailand yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’, seorang lelaki warganegara Thailand yang dipercayai sebagai ‘transporter’ dan dua lelaki warganegara Malaysia serta empat lelaki warganegara Thailand dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’ berusia antara 34 hingga 67 tahun telah ditahan,” kata JIM dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut JIM, permeriksaan lanjut terhadap semua kenderaan, pasukan operasi turut menahan 13 lelaki dan 22 perempuan warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Thailand, seorang lelaki warganegara Myanmar dan seorang perempuan warganegara Thailand berusia antara 20 hingga 58 tahun.
Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 47 orang.
Pasukan operasi turut merampas 39 naskhah pasport terdiri daripada 35 naskhah pasport Indonesia dan empat naskhah pasport Thailand, daa naskhah pas sempadan, tujuh unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM6,510, Rupiah Indonesia 706,000 dan 11 Dolar Singapura.
Turut disita enam buah kenderaan terdiri daripada empat buah van Komuter Thailand, sebuah Naza Ria dan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.
“Modus operandi sindiket adalah mensasarkan warganegara asing yang telah disenarai hitam dan ingin memasuki Malaysia.
“PATI akan dibawa masuk ke Malaysia melalui pengkalan haram di Rantau Panjang, Kelantan ke destinasi di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan van pelancong Thailand,” menurut kenyataan itu lagi.
Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000.00 hingga RM6,000.00 untuk seorang PATI mengikut warganegara. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama dua bulan.
Dua lelaki warganegara Malaysia dan enam lelaki warganegara Thailand ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.26A Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyelupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Manakala warganegara asing yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.