Jenayah & Mahkamah

Ibu rakan serumah dipenjara tujuh tahun dera anak

JOHOR BAHRU – Hakim Mahkamah Sesyen bagi perbicaraan kes seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun didera oleh ibu dan rakan serumahnya tidak dapat menahan sebak sebelum menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kepada kedua-dua tertuduh.

Hakim V.M. Mabel Sheela dalam penghakimannya mengakui sebak ketika membayangkan penderitaan dan kesakitan ditanggung kanak-kanak berkenaan dalam tempoh sebulan penderaan dialaminya.

Bagi pertuduhan itu, Mabel Sheela menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap ibu tunggal, Nurul Asyiqin Mohamad Zahid, 27, dan rakan serumahnya, Awiin Chua, 30.

Hakim berkata, tertuduh yang mempunyai hubungan pertalian darah dengan kanak-kanak malang itu tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

“Mahkamah tidak dapat membayangkan keadaan mangsa sekiranya keadaan berlarutan lebih lama dan dia tidak dibantu oleh orang awam, mangsa mungkin boleh meninggal dunia,” katanya memetik Berita Harian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala kedua tertuduh diwakili Peguam, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah.

Dalam penghujahan Nur Diyana memaklumkan terdapat lebih 20 kecederaan fizikal terhadap tubuh mangsa berdasarkan hasil pemeriksaan pakar perubatan.

Tempoh tertuduh melakukan penderaan terhadap mangsa selama sebulan yang mana kedua-dua tertuduh mempunyai penjagaan terhadap mangsa kerana mangsa tinggal bersama mereka.

“Kekerapan setiap hari sejak 1 Julai hingga 9 Ogos berdasarkan kepada pengesahan luka lama dan baru serta parut tubuh badan mangsa dalam laporan perubatan.

“Mangsa bukan sahaja dipukul tetapi turut diabaikan dengan meninggalkan mangsa keseorangan, dikunci di rumah tanpa makanan serta tidak menghalang atau menyelamatkan mangsa apabila dipukul,” katanya.

Selepas mengambil kira penghujahan pendakwaan, Mabel Sheela menetapkan tertuduh dipenjara tujuh tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Mahkamah seterusnya memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bagi dua pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan 12 Ogos lalu.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kedua ibu tunggal itu ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tiba di perkarangan mahkamah jam 9 pagi dilihat tenang dan bersedia menerima hukuman yang bakal dijatuhkan hakim terhadap mereka.

Pada 16 Ogos lalu, ibu tunggal itu dan Awiin yang juga wanita berperwatakan lelaki mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun, pada 27 September lalu, kedua-dua mereka menukar pengakuan kepada bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Mabel Sheela.

Awal Ogos lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya adalah ibu kandungnya.

Kejadian menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas jiran menyerbu rumah diduduki dua beranak itu bersama kenalan ibu mangsa.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button