2 menteri Ghana terkorban nahas helikopter
ACCRA – Dua menteri Ghana disahkan terkorban dalam satu nahas helikopter tentera di selatan negara itu, semalam.
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Pejabat Presiden menyebut, mangsa yang terkorban adalah Menteri Pertahanan, Edward Omane Boamah dan Menteri Alam Sekitar, Sains dan Teknologi, Ibrahim Murtala Muhammed, bersama tiga anak kapal dan tiga penumpang lain.
Kesemua lapan individu disahkan maut selepas sebuah helikopter Z9 milik Tentera Udara Ghana terhempas di kawasan hutan tebal di wilayah Ashanti.
Rakaman telefon bimbit dari lokasi kejadian yang disiarkan saluran tempatan Joy News, menunjukkan serpihan helikopter masih terbakar di tengah kawasan hutan.
Media tempatan melaporkan helikopter itu sedang dalam perjalanan ke satu acara berkaitan isu perlombongan haram sebelum ditimpa nahas.
“Presiden dan kerajaan merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga rakan-rakan seperjuangan serta anggota tentera yang terkorban dalam menjalankan tugas demi negara,” kata Ketua Staf Presiden, Julius Debrah dalam kenyataan rasmi.
Angkatan Tentera Ghana mengesahkan siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti punca nahas, selepas pesawat berkenaan dilaporkan hilang dari radar sejurus berlepas dari ibu negara, Accra, sekitar pukul 9.00 pagi waktu tempatan.
Boamah dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Presiden John Mahama tidak lama selepas Mahama mengangkat sumpah jawatan, Januari lalu.
Manakala Muhammed, 50, ketika itu memegang portfolio alam sekitar dan dijadualkan menghadiri rundingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva mengenai perjanjian global memerangi pencemaran plastik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








