
100 dikhuatiri maut dalam tanah runtuh di PNG
PORT MORESBY – Seramai 100 orang dipercayai terbunuh selepas lereng bukit runtuh dan menimbus sebuah kampung pedalaman di Enga, Papua New Guinea (PNG), semalam.
Tanah runtuh itu dipercayai melanda Kampung Kaokalam, kira-kira 600 kilometer ke barat laut ibu negara PNG, di sini sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan).
Menurut laporan Al-Jazeera, walaupun angka kematian tersebut dilaporkan Australian Broadcasting Corp (ABC) dan media tempatan namun ia belum disahkan oleh pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa mengatakan skala tanah runtuh adalah ‘besar’, tetapi mereka masih tidak dapat mengesahkan jumlah kematian.
“Banyak rumah telah musnah termasuk kebun dan tanaman yang menjadi sumber makanan orang ramai dalam komuniti ini,” katanya.
Jelasnya lagi, kejadian tanah runtuh dikatakan sebagai perkara biasa melanda komuniti kebanyakan petani sara diri yang tinggal di kawasan terpencil dan agak berbukit itu.
Sementara itu, Gabenor wilayah Enga, Peter Ipatas berkata bahawa bencana itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya enam kampung terjejas.
Perdana Menteri, James Marape menerusi satu kenyataan berkata beliau masih belum diberi taklimat sepenuhnya mengenai situasi itu tetapi memberi jaminan bahawa pihak berkuasa berkaitan sedang berusaha gigih untuk menangani bencana itu.
“Kami menghantar pegawai bencana, Pasukan Pertahanan PNG, dan Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya untuk bertemu pegawai wilayah dan daerah di Enga selain juga memulakan kerja bantuan, pemulihan mayat, dan pembinaan semula infrastruktur.
“Saya akan mengeluarkan maklumat lanjut selepas saya diberi taklimat sepenuhnya mengenai skala kemusnahan dan kehilangan nyawa,” kata Marape.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








