JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas OKU ditemukan lemas dalam tali air di Hutan Melintang

IPOH – Seorang lelaki warga emas orang kelainan upaya (OKU) ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari kerusi rodanya ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baru, berhampiran Selekoh, Hutan Melintang, pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 77 tahun yang menggunakan kaki palsu.

Menurut beliau, mangsa ditemukan terapung di bawah Jambatan Sungai Tiang, kira-kira dua meter dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh pada pukul 8.40 pagi.

“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.13 pagi.

“Pemeriksaan awal mendapati kerusi roda milik mangsa berada di tepi tali air, dipercayai sebelum mangsa terjatuh ke dalamnya,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Susulan itu, pasukan bomba menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota melakukan pencarian di sekitar kawasan kejadian.

Mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam air oleh anggota JBPM sebelum diperiksa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan serta siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button