AGAMABERITA SEMASA

Ulama Yaman, Habib Umar serikan Kuliah Subuh MADANI di Masjid Putra esok

PUTRAJAYA – Umat Islam di seluruh negara dijemput menghadiri Kuliah Subuh MADANI bersama ulama tersohor dunia, Al-Habib Umar Muhammad Salim Hafidz yang akan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya esok.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir bagi memeriahkan majlis ilmu tersebut.

“Jangan lepaskan peluang keemasan ini! Ayuh, kita sama-sama suburkan jiwa dengan ilmu dan keberkatan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di media sosial.

Kuliah Subuh MADANI tersebut dijangka menarik kehadiran ribuan jemaah dari seluruh negara yang ingin menimba ilmu serta mengambil keberkatan daripada kehadiran ulama dari Yaman itu.

Habib Umar merupakan seorang ulama, pendakwah dan pendidik terkemuka dari Tarim, Hadramawt, Yaman.

Poster Kuliah Subuh MADANI bersama Habib Umar yang akan berlangsung di Masjid Putra esok.

Beliau merupakan pengasas Dar al-Mustafa, sebuah institusi pendidikan Islam yang melahirkan ribuan pendakwah dan ilmuwan dari seluruh dunia.

Habib Umar terkenal dengan keilmuan dalam bidang tafsir, hadis, fiqh dan tasawuf serta pendekatan dakwahnya yang lembut, hikmah dan penuh kasih sayang.

Gaya penyampaian beliau yang menekankan pembentukan akhlak, kecintaan kepada Rasulullah SAW dan penyucian hati menjadikan beliau disegani dan dicintai oleh jutaan umat Islam di serata dunia.

Kehadiran beliau ke Malaysia saban tahun sering menjadi medan penyatuan hati umat dan kebangkitan semangat kecintaan kepada ilmu dan Rasulullah SAW.

Kuliah Subuh MADANI itu diharap menjadi wadah penyubur rohani, memperkukuh nilai ilmu, integriti, itqan, ikhlas dan istiqamah sebagaimana yang digariskan gagasan Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button