Tiga warga Yaman terkandas kepala air di Batang Kali, semua selamat
KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga Yaman berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air di kawasan Air Terjun Sungai Kedondong, Batang Kali, petang semalam.
Kesemua mangsa berjaya diselamatkan menerusi operasi pantas oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.12 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba kira-kira pukul 4.40 petang selepas menempuh jarak sejauh 26 kilometer.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati tiga lelaki warga Yaman terkandas akibat arus deras kepala air.
“Dua daripada mereka telah diselamatkan lebih awal oleh orang awam dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan selepas terperangkap di tebing setinggi kira-kira tiga meter sebelum berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba.
Tambahnya, kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.30 petang selepas keadaan disahkan selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








