Tema bunian, mistik dikhuatir cetus unsur khurafat
PETALING JAYA – Penularan program sambutan hari jadi bertemakan bunian dan alam mistik yang menjadi perhatian di media sosial baru-baru ini mengundang kebimbangan kerana berpotensi mendorong kepada unsur khurafat serta kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profesor Dr. Rozaimi Ramle berkata, isu berkenaan sebenarnya telah disentuh menerusi fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2023 berkaitan penganjuran program berunsurkan alam mistik seperti rumah hantu dan aktiviti seumpamanya.
Menurut beliau, Islam mengakui kewujudan alam jin dan syaitan, namun umat Islam dituntut supaya sentiasa berlindung daripada kejahatan makhluk tersebut serta menjauhi sebarang bentuk kepercayaan khurafat yang boleh menjejaskan akidah.
Katanya, antara bentuk khurafat yang perlu dielakkan ialah kepercayaan bahawa roh individu yang telah meninggal dunia kembali atau berkeliaran untuk mengganggu manusia yang masih hidup.
“Penganjuran program seperti rumah hantu yang menimbulkan unsur khurafat, ketakutan melampau, menjatuhkan maruah diri atau menyebabkan kemudaratan adalah haram di sisi syarak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas mengenai sambutan hari jadi bertemakan bunian dan mistik yang didakwa berlangsung di Kelantan dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Bagaimanapun, Rozaimi menjelaskan fatwa sama turut membenarkan program yang bertujuan memberi kefahaman mengenai alam jin dan syaitan berdasarkan dalil yang sahih serta bebas daripada unsur khurafat.
Selain itu, aktiviti berbentuk hiburan juga dibenarkan selagi tidak menanam kepercayaan yang salah atau menjejaskan akidah masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat penganjuran rumah hantu atau aktiviti lain yang mengandungi unsur bertentangan dengan syarak.
Terdahulu, sebuah sambutan hari jadi bertemakan bunian dan alam mistik menjadi tular di media sosial sehingga mencetuskan perdebatan mengenai kesesuaian penganjuran program seumpama itu dalam masyarakat Islam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










