BERITA SEMASA

Stadium Nasional, Stadium Putra dijenama semula sebagai TM Stadium Nasional, Unifi Arena

BUKIT JALIL – Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil kini dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena menerusi kerjasama hak penamaan antara Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, kerjasama berkenaan berkuat kuasa 6 Mac lalu bagi tempoh tiga tahun sebagai langkah memastikan kedua-dua venue utama negara itu terus kekal relevan, selesa serta berdaya saing sebagai lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa.

Menurutnya kerjasama hak penamaan tersebut merupakan inisiatif penting untuk memperkukuh kelestarian serta pembangunan jangka panjang fasiliti berkenaan.

“Sebagai pengurus Stadium Nasional dan Stadium Putra, kami komited memastikan kemudahan ini sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Kerjasama hak penamaan ini merupakan satu inisiatif oleh PSM untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang venue-venue ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada kerjasama itu akan disalurkan bagi usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman lebih baik kepada para pengunjung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang ikonik tersebut.

“Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan serta menyaksikan detik bersejarah.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button