Serbuan di sebuah rumah bongkar mercun haram bernilai RM105,000
IPOH – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Perak berjaya membongkar kegiatan penyimpanan mercun haram selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Rasa Sayang, Sitiawan, semalam dengan rampasan bernilai lebih RM105,000.
Serbuan itu dijalankan menerusi Op Taring Landai oleh Unit Risikan Marin PPM Wilayah Satu Perak hasil maklumat awam berkaitan aktiviti penyimpanan mercun di sebuah kediaman.
Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, operasi sekitar pukul 4 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun.
“Pemeriksaan di kediaman berkenaan menemui beberapa kotak mercun disimpan di ruang dapur serta di dalam sebuah van.
“Antara jenis mercun yang dirampas termasuk Happy Boom Red Cracker, Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeater, Happy Boom Shoot Cake dan Happy Boom Celebration Red Fire Cracker,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang lesen atau permit sah untuk menyimpan dan memiliki mercun berkenaan.
Siasatan lanjut juga mendapati rumah itu dijadikan stor simpanan mercun sejak kira-kira dua minggu lalu dan bekalan tersebut dipercayai untuk dijual di sekitar Sitiawan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Suspek bersama barangan rampasan termasuk mercun serta sebuah van dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








