GAYA HIDUPSUKAN

Saddam, anak jadi tumpuan Spartan Malaysia 2025

KUALA LUMPUR – Jaguh larian halangan negara, Saddam Pittli dijangka mencuri perhatian dalam kejohanan Spartan Malaysia 2025 yang berlangsung di Gamuda Cove pada 18 dan 19 Oktober depan.

Atlet berusia 34 tahun yang juga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dijangka bersaing dengan kira-kira 3,000 peserta dari 19 negara.

Spartan Race
Saddam ketika beraksi mewakili Malaysia pada acara Spartan Race Indonesia 2024.

Lebih menarik, penyertaan anak lelakinya, Syahid Al Zahran, 9, dalam kategori Spartan Kids sebagai duta junior menjadikan edisi kali ini lebih istimewa.

“Setiap kali berlumba di tanah air,ia adalah pengalaman cukup bermakna namun kali ini lebih istimewa kerana Syahid turut serta.

“Saya mahu keluarga di luar sana melihat Spartan bukan sekadar pertandingan tetapi medan membina ketahanan fizikal dan mental bersama,” kata Saddam.

Related Articles

Sepanjang kariernya, Saddam sudah menamatkan 32 perlumbaan Spartan sejauh hampir 300 kilometer dan meraih dua pingat Trifecta.

Beliau konsisten menamatkan saingan di podium peringkat serantau hasil disiplin tinggi sebagai anggota tentera.

“Spartan mengajar kita untuk bangkit setiap kali jatuh. Nilai itulah yang saya mahu Syahid dan setiap anak di luar sana pelajari.

“Sama ada atlet berpengalaman atau penyertaan kali pertama, perlumbaan ini akan menguji dan menginspirasikan anda,” katanya lagi.

Sementara itu, Syahid menzahirkan keterujaan untuk kembali beraksi.

“Saya pernah sertai Spartan Kids sebelum ini dan berlatih bersama ayah. Dia selalu ingatkan saya bahawa atlet Spartan tidak pernah mengalah.

“Saya tidak sabar mahu buktikan bahawa kanak-kanak juga boleh jadi Spartan dengan cara kami sendiri,” ujarnya.

Spartan Race
Syahid teruja menyertai acara Spartan Kids kerana menerima sokongan penuh daripada ayahnya.

Edisi kali ini turut menampilkan Kuala Lumpur Spartan Trifecta Weekend yang terdiri daripada kategori Sprint (5km, 20 halangan), Super (10km, 25 halangan) dan Beast (21km, 30 halangan) untuk meraih pingat Trifecta.

Bagi kategory Spartan Kids, kanak-kanak akan diuji dengan halangan skala kecil dalam larian sejauh 1–3 km, manakala peminat ekstrem boleh mencabar diri dengan Hurricane Heat 4-Hour, cabaran berpasukan yang menguji fizikal dan mental.

Acara ini menandakan era baharu Spartan Malaysia di bawah kerjasama SCORE Sports Management dan RUNRIO Thailand dengan perancangan menganjurkan Regional Series meliputi Malaysia, Thailand dan Singapura pada tahun depan.

“Kami berbangga membawa Trifecta Weekend ke Selangor dan bangga selepas menerima sambutan yang baik dan semakin berkembang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SCORE, Patricia Tan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RUNRIO Thailand, Boonperm Intanapasat turut melahirkan rasa teruja untuk program tersebut.

Spartan Race
Acara ini menandakan era baharu Spartan Malaysia di bawah kerjasama SCORE Sports Management dan RUNRIO Thailand dengan perancangan menganjurkan Regional Series meliputi Malaysia, Thailand dan Singapura tahun depan.

“Kami teruja memperkukuh kehadiran Spartan di Asia Tenggara. Bersama SCORE, kami yakin dapat membawa pengalaman perlumbaan bertaraf dunia di Gamuda Cove. Bersedia untuk hujung minggu yang epik,” katanya.

Selain Saddam dan Syahid, Spartan Malaysia 2025 turut menampilkan barisan duta tempatan termasuk Jayakumar Tharmalingam, Muhamad Azhari Hassan, Shum Chiew Mun, Malcolm Wu Han dan Muhammad Haidharul Irfan Abdul Halim.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button