BERITA SEMASA

RADEX 25′ teroka kepentingan radio kampus dalam industri media

GOMBAK – Radio IIUM.FM baru-baru ini menganjurkan RADEX 25’, satu program selama empat hari di kota Jakarta dan Bandung.

Program itu dianjurkan dengan tujuan meneroka kepentingan radio kampus dalam industri media masa kini sambil memperkukuh kerjasama antara stesen radio kampus dan komuniti.

radex 25
RADEX 25′ dianjurkan dengan tujuan meneroka kepentingan radio kampus dalam industri media masa kini sambil memperkukuh kerjasama antara stesen radio kampus dan komuniti. – GAMBAR IHSAN IIUM

Sepanjang RADEX 25′ para peserta dibawa mengunjungi dua stesen radio kampus terkemuka di Indonesia iaitu 24Station, Radio Universitas Islam Bandung (UNISBA) dan Radio Telekomunikasi Cipta Universitas Indonesia (RCTUI FM) serta Radio Manajemen Qalbu (MQ FM), sebuah stesen radio komuniti yang berpengaruh.

Program ini diketuai oleh Mohamad Nur Huzeer Zakaria selaku pengerusi program dan diselia Penasihat IIUM.FM, Zarita Kasim

Lawatan ini secara langsung memberi pendedahan berharga kepada para peserta mengenai strategi operasi, cabaran, dan inovasi dalam memastikan radio kampus terus relevan dalam era digital.

Selain itu, pendedahan ini turut menekankan kepentingan penggunaan media sosial, audio siar (podcast) dan platform digital untuk memperluaskan capaian serta meningkatkan interaksi bersama pendengar.

Salah satu sorotan utama RADEX 25’ ialah rakaman podcast yang bertajuk “Hala Tuju dan Masa Depan Radio Kampus” yang menonjolkan sinergi antara radio tradisional dan penciptaan kandungan digital.

Bersempena bulan Ramadan, RADEX 25’ turut menganjurkan sesi temu bual khas bersama para penyampai Radio MQ FM.

RADEX 25’ membuktikan bahawa radio masih jauh daripada pupus dan terus berkembang dengan menerima perubahan digital, menggabungkan format kandungan yang lebih inovatif serta meningkatkan interaksi bersama pendengar dan penonton.

Selain itu, kerjasama antara radio kampus tidak terhad kepada kerjasama tempatan, tetapi menjangkau batas sempadan dengan bantuan teknologi digital, sekaligus membolehkan perkongsian idea dan penyampaian kandungan secara lebih meluas.

Stesen radio IIUM.FM merupakan siaran radio kampus yang dikendalikan oleh pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan boleh dicapai di platfom ‘YouTube’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button