PESTAP cipta sejarah hantar pasukan wanita ke Piala Emas Khir Johari
PUTRAJAYA – Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP) mencipta sejarah apabila buat pertama kali menghantar pasukan wanita ke Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari yang dijadual berlangsung minggu hadapan.
Pengurus pasukan wanita PESTAP, Shahzan Ismail berkata, penyertaan tersebut merupakan satu langkah signifikan dalam usaha memperkasa pembangunan sepak takraw wanita di Putrajaya, sekali gus membuka ruang kepada pemain muda untuk menonjolkan bakat di pentas lebih tinggi.
Menurutnya, walaupun pasukan itu dibarisi pemain muda, pihaknya tetap meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik pada edisi kali ini.
“Ini adalah julung kalinya Putrajaya menghantar pasukan wanita ke kejohanan ini. Walaupun mereka masih muda, kami yakin dengan potensi yang dimiliki serta komitmen yang ditunjukkan sepanjang latihan,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Pasukan wanita Putrajaya menampilkan gandingan pemain yang terdiri daripada Nurul Syafiqah Jafri dan Nor Farisha Amani Yusri selaku tekong, manakala posisi killer digalas Nur Athirah Roslan serta Wan Adriana Batrisyia Wan Anizam, sementara peranan feeder diisi Nuratasha Najib.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa perkembangan positif dalam pembentukan pasukan tersebut turut didorong oleh pelaksanaan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) yang dilancarkan pada April 2025.
Program anjuran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia bersama Majlis Sukan Negara itu bertujuan memperkukuh pembangunan sukan sepak takraw dari peringkat akar umbi hingga ke tahap kebangsaan, selain melahirkan bakat pelapis serta meningkatkan kualiti pemain agar mampu bersaing setanding sukan popular lain.
Sehubungan itu, Shahzan turut mengalu-alukan penyertaan remaja wanita sekitar Putrajaya untuk menyertai program pembangunan tersebut bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa hadapan.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 016-679 5893.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








