
Perlu usaha sendiri, jangan harap bantuan untuk capai impian
SEPANG – Keadaan cuaca ekstrim yang tidak menentu menjadi penghalang utama pendaki negara, Mohd. Khafiz Bachok menamatkan cabaran mendaki gunung kedua tertinggi dunia, K2.
Anak kelahiran Pontian, Johor itu yang berjaya tiba ke puncak K2 pada 27 Julai lalu berkata, misi pendakiannya turut hampir dilanda tragedi namun berjaya dielakkan.

“Salah seorang sherpa saya terjatuh ketika dalam perjalanan turun, dan nyaris meninggal dunia. Tapi alhamdulillah beliau hanya tercedera,” kata Khafiz yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.
Beliau diberikan sambutan wira oleh puluhan sanak saudara dan rakan-rakan yang menunggu ketibaan beliau dari Islamabad, Pakistan, hari ini.
Ekspedisi Khafiz yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Kichok’ mendaki K2 sebenarnya unik, kerana langsung tidak ditaja oleh mana-mana pihak tetapi dikumpul sepenuhnya daripada dana sendiri dan kutipan jualan barangan.
“Saya mendaki guna dana sendiri. Selain menjual t-shirt dan merchandise, bagi menampung kos pendakian saya (turut terpaksa) menjual rumah saya.
“(Apa yang) Saya cuba sebarkan adalah slogan ‘Malaysia Berdikari’, yang mana kita berusaha sendiri untuk mencapai impian tanpa menunggu bantuan.
“(Namun) Sekiranya ada bantuan, itu rezeki.
“Saya berharap perkara ini akan jadi inspirasi kepada semua anak muda dalam mencapai impian, kita berusaha, dan jangan (hanya) menunggu bantuan,” kata Kichok lagi.
Untuk rekod, K2 merupakan gunung yang terletak di Banjaran Karakoram di Pakistan dengan ketinggian 8,611 meter (m) dari aras laut dan direkodkan sebagai gunung kedua tertinggi dunia selepas Everest yang berkongsi sempadan antara Nepal dan China.
Kichok merupakan rakyat Malaysia kedua yang berjaya menawan puncak K2 selepas T. Ravichandran yang lebih dikenali sebagai Ravi Everest berjaya melakukannya pada Julai 2022.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





