Pengurus projek didakwa edar syabu 6.3 kilogram
KULIM – Seorang pengurus projek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 6.3 kilogram di Taman Kenari, minggu lalu.
Tertuduh, Suventhiran Selvaraj, 35, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine di kawasan Taman Kenari pada pukul 12.10 pagi, 22 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jayasri Ravichanthiran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Sebelum ini, polis dilaporkan merampas sembilan paket plastik lutsinar disyaki mengandungi syabu dengan anggaran berat keseluruhan 6.3 kilogram.
Turut dirampas beberapa barangan lain termasuk sebuah beg sandang berwarna kelabu, beg plastik hitam, dompet mengandungi wang tunai RM400 serta kad pengenalan.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tertuduh positif methamphetamine.
Semakan turut mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









