BERITA SEMASA

Penganjur SAS2024 sediakan bas ulang-alik, tempat letak kereta percuma

Tempat letak kereta percuma di kawasan Stadium Shah Alam

SHAH ALAM – Penganjur Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dan tempat letak kenderaan percuma kepada pengunjung sepanjang pameran tersebut berlangsung.

Menurut Invest Selangor Berhad dalam satu kenyataan, SAS 2024 dibuka kepada pengunjung awam bermula Jumaat pada pukul 1 tengah hari, dan akses penuh tersedia sepanjang Sabtu bermula 10 pagi.

Katanya, pelawat yang tiba dengan kenderaan persendirian digalakkan meletak kenderaan di kawasan Stadium Shah Alam berhadapan City Karting (Shah Alam International Go Kart Circuit) kerana tiada kemudahan parkir di lokasi pameran iaitu Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Bukit Jelutong.

“Setelah meletak kenderaan, pengunjung perlu ke kawasan zon menunggu ditetapkan dan perkhidmatan bas ulang-alik membawa pengunjung dari Stadium Shah Alam ke pondok pengawal RAC Skypark.

“Bas ulang-alik beroperasi setiap 15 minit bermula 8 pagi dengan bas terakhir kembali ke Stadium Shah Alam pukul 7.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya selain bas ulang-alik pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan e-hailing, MyCar yang menawarkan diskaun khas RM2 untuk perjalanan ke dan dari Stadium Shah Alam.

“Setibanya di kawasan pameran, pengunjung perlu ke bahagian pendaftaran B untuk mengimbas kod QR yang diterima menerusi emel pengesahan, mengambil gelang tangan kemasukan dan menjalani pemeriksaan keselamatan standard.

“Semua beg dan barangan peribadi akan diperiksa dan barang seperti senjata dan bahan berbahaya dilarang sama sekali.

“Untuk keluarga dengan anak berumur lima tahun dan ke bawah, ibu bapa atau penjaga sah perlu menandatangani borang pengecualian semasa pendaftaran dalam talian,” katanya lagi.

SAS 2024 yang bermula esok untuk pelawat perdagangan menjanjikan tontonan yang menarik dan menampilkan penyertaan dari lebih 35 negara selain mempamerkan 49 pesawat statik pelbagai jenis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button