BERITA SEMASA

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia kekal 18 April

KUALA LUMPUR – Penerbangan pertama jemaah Malaysia ke Tanah Suci bagi musim haji 2026 pada 18 April ini diteruskan mengikut perancangan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan bagaimanapun berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) sudah bersedia dengan pelan luar jangka yang baik bagi mendepani sebarang kemungkinan susulan krisis Asia Barat yang masih belum reda, lapor BH Online.

“Apa saya boleh rumuskan setakat ini, rancangan haji ‘on track’, berjalan seperti yang kita rancang. Insya-Allah doakan penerbangan pertama akan terbang ke Tanah Haram pada 18 April.

“Daripada aspek lain, TH sudah mempunyai pelan kontigensi yang sangat baik. Ini kelebihan negara kita kerana ada pengurusan haji terbaik di dunia,” katanya Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Beliau berkata, hasil lawatannya ke Makkah dan Madinah baru-baru ini ketika menghadiri mesyuarat bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah turut menunjukkan perkembangan yang positif, terutama berkaitan persiapan haji bagi jemaah tanah air.

“Jadi hasil lawatan ( bagi melihat persiapan) untuk jemaah kita di Makkah dan Madinah, persiapan rapi dan teliti (telah dibuat), Alhamdulillah, malah ia lebih baik dari tahun sebelumnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala terakhir 20 Mei dengan hari wukuf dijangka 26 Mei.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button