Pemilihan KEADILAN 2025: “Hulu Langat Maju Bersama” jadi tekad Muhammad Hanafi pimpin cabang
HULU LANGAT – Cabang Hulu Langat terus menjadi tumpuan menjelang Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2025 apabila Muhammad Hanafi Jalalludin secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Cabang dalam pemilihan kali ini.

Menurut beliau, Hulu Langat merupakan antara cabang paling penting dan strategik yang banyak menyumbang kepada kekuatan serta kelangsungan parti, bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat nasional.
“Hulu Langat bukan sekadar sebuah kawasan biasa. Ia adalah pusat gerakan yang mampu memperkukuh struktur parti, memperluas dukungan rakyat dan membawa suara reformasi ke akar umbi,” katanya kepada MT hari ini.

Muhammad Hanafi berkata, pemilihan ini bukan sekadar soal individu yang menang, tetapi berkisar kepada keupayaan untuk memimpin, menyusun serta menggerakkan KEADILAN Hulu Langat ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau turut menyuarakan iltizam dan rasa tanggungjawab yang mendalam untuk mengangkat kembali peranan cabang tersebut dengan membawa semangat perjuangan yang segar dan lebih menyeluruh demi masa depan parti dan rakyat.

Mengulas lanjut mengenai perancangannya, beliau menekankan keperluan membangunkan KEADILAN Hulu Langat sebagai sebuah cabang yang profesional, tersusun dan responsif terhadap perkembangan semasa serta keperluan masyarakat. Jentera pilihan raya pula perlu diperkukuhkan dengan strategi yang kemas dan terancang sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Tambah beliau, KEADILAN Hulu Langat mesti kembali kepada pendekatan dasar berasaskan akar umbi yang benar-benar menyentuh realiti hidup rakyat, selain memberi ruang lebih besar kepada golongan muda, wanita dan aktivis untuk turut serta secara aktif dalam hala tuju parti.

“Sudah tiba masanya kita mengangkat suara anak muda, wanita dan aktivis agar suara mereka benar-benar didengari dan dihargai dalam perjuangan KEADILAN,” ujarnya lagi.
Beliau turut berkata, tema “Hulu Langat Maju Bersama” akan menjadi panduan utama dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, dan memastikan kemajuan serta kebajikan semua lapisan rakyat terus diberi perhatian.
“Saya mohon sokongan dan dokongan daripada semua anggota KEADILAN Hulu Langat. Ayuh kita bangkit bersama dan jadikan Hulu Langat contoh cabang yang cemerlang, progresif dan berjiwa rakyat,” katanya.
Pemilihan KEADILAN dijangka menjadi medan penting dalam menentukan arah kepimpinan parti di peringkat cabang, menjelang cabaran politik mendatang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



