Pelabuhan mesra halal di Kuantan dijangka jana RM15 bilion, 13,000 peluang pekerjaan – TPM
KUALA LUMPUR – Pembangunan Pelabuhan mesra halal pertama negara di Pelabuhan Kuantan dijangka menjana nilai ekonomi RM15 bilion serta mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu merupakan antara langkah strategik berimpak tinggi bagi merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan meletakkan Pelabuhan Kuantan sebagai Hab Halal Pantai Timur yang bersepadu, sekali gus memperkukuh integriti dan kebolehkesanan halal, meningkatkan kecekapan rantaian logistik serta melonjakkan daya saing dan eksport halal negara,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mempengerusikan Mesyuarat MPIH Bil. 2/2025 hari ini, yang memperincikan langkah konkrit bagi memperkukuh ekosistem industri halal secara menyeluruh.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan aspek logistik, pembiayaan, pelancongan, pembangunan negeri serta tadbir urus taman industri halal bagi memastikan industri berkenaan terus berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Baca juga : TPM Zahid mahu semua ekspo produk halal ditempatkan dalam ruang kerja yang sama
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut membincangkan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan akses pembiayaan industri halal yang dibentangkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) susulan pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI.
Jelas beliau, walaupun pelbagai inisiatif pembiayaan telah disediakan, tahap penyaluran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal masih rendah, terutamanya disebabkan kekangan cagaran fizikal.
“Sehubungan itu, saya menggesa pengukuhan koordinasi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan institusi kewangan, di samping pemerkasaan proses dokumentasi serta peningkatan kefahaman terhadap penilaian risiko perniagaan halal bagi memastikan akses pembiayaan yang lebih inklusif dan berkesan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, peranan Islamic Tourism Centre (ITC) turut diberi penekanan bagi memperkukuh ekosistem pelancongan Islam melalui pemerkasaan konsep Muslim-Friendly Tourism and Hospitality.
Beliau memaklumkan, prestasi pelancongan Islam negara terus menunjukkan momentum positif apabila merekodkan 5.4 juta ketibaan pelancong Muslim dengan perbelanjaan mencecah RM19.54 bilion pada 2024.
“Mesyuarat bersetuju agar Program Muslim-Friendly Assurance Recognition (MFAR) diselaraskan dengan garis panduan pensijilan halal dalam sektor perhotelan bagi memastikan keseragaman standard, meningkatkan tahap pematuhan serta memperkukuh keyakinan pelancong Muslim,” katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan perbincangan melibatkan PIJ Holdings Sdn. Bhd. berhubung Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) yang memfokuskan pembangunan industri halal negeri, khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura.
Menurut beliau, pelan tersebut menggariskan tujuh hala tuju strategik dan 21 inisiatif utama, termasuk cadangan penubuhan Johor Halal Development Corporation (JHDC) sebagai Agensi Fasilitasi Halal Negeri Johor.
“Saya menggalakkan negeri-negeri lain mencontohi pendekatan proaktif ini bagi memastikan pembangunan industri halal yang seimbang dan selari dengan matlamat nasional,” katanya.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan cadangan Kerangka Kerja HALMAS baharu oleh Halal Development Corporation (HDC) yang akan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pelaksanaan HALMAS dengan sokongan bersasar agensi peneraju.
Di bawah kerangka itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menerajui usaha promosi dan tarikan pelaburan strategik ke dalam Taman Industri Halal HALMAS, HDC memfokuskan pembangunan industri serta pemudah cara pensijilan, manakala Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mempergiat promosi eksport produk halal.
Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) juga akan dimanfaatkan bagi meningkatkan penyertaan industri serta memperkukuh daya saing keseluruhan ekosistem halal negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








