Panglima Tentera Udara catat sejarah, terbangkan pesawat Su-30MKM sempena Hari Kebangsaan
PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bakal mencatat sejarah apabila Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris akan menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM dalam segmen persembahan udara di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Latihan persiapan pagi tadi menyaksikan beliau bersama juruterbang dan anak kapal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memulakan sesi penerbangan sebagai persiapan rapi bagi menjayakan persembahan tersebut.

Melalui perkongsian di Facebook, TUDM memberitahu, sebanyak 30 aset udara bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya dalam persembahan Hari Kebangsaan tahun ini.
Ia melibatkan pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter daripada pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan negara termasuk Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Penglibatan Panglima Tentera Udara mencerminkan semangat kepimpinan beliau untuk berada di barisan hadapan bersama perwiranya, sekali gus menjadi lambang kekuatan sebuah pasukan,” kata kenyataan itu.

Sambutan yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ bakal diterjemahkan di langit Putrajaya melalui deruman enjin pesawat, kibaran Jalur Gemilang serta keberanian pasukan keselamatan negara yang menjulang tinggi di udara.
“Pengorbanan tidak bertepi, nyawa sebagai taruhan, itulah ikrar yang dipegang oleh kami dalam memastikan keamanan dan kemerdekaan negara terus dipertahankan. Duty, Honour, Sacrifice,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam masa yang sama, TUDM turut menyeru rakyat Malaysia untuk hadir beramai-ramai ke Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 dan merakam detik bersejarah itu bersama keluarga tercinta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


