BERITA SEMASA

Pakar dedah risiko ‘paru-paru popcorn’ akibat vape

KUALA LUMPUR – Trend penggunaan vape yang sering dianggap lebih selamat berbanding rokok kini semakin membimbangkan apabila ramai golongan muda dikesan mengalami kerosakan paru-paru serius.

Perkara itu dikongsi Pakar Perunding Perubatan Respiratori dan Paru-Paru dari Sunway Medical Centre Velocity, Dr. Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Menurut beliau, seorang pesakit berusia 32 tahun yang dirawatnya mengalami kerosakan paru-paru dipercayai akibat penggunaan vape secara berterusan selama tiga tahun.

nurul yaqeen
Dr. Nurul menegaskan ramai pengguna vape percaya produk tersebut tidak berbahaya kerana dianggap sekadar menghasilkan wap air.

Ujarnya, pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Chong pada mulanya datang mendapatkan rawatan selepas mengalami sesak nafas, batuk berpanjangan dan kesukaran melakukan aktiviti harian yang sebelum ini mudah dilakukan.

“Beliau masih muda, aktif bersukan dan tidak pernah merokok. Namun apabila ditanya lebih lanjut, beliau mengakui menggunakan vape setiap hari sejak tiga tahun lalu.

Related Articles

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya banyak melihat pesakit muda dengan kerosakan paru-paru yang pelik.

“Terlalu muda. Terlalu cepat rosak dan ramai bermula dengan ayat yang sama iaitu ‘vape je’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr. Nurul berkata, hasil pemeriksaan dan imbasan CT menunjukkan pesakit berkenaan mengalami kerosakan serius pada saluran pernafasan kecil dengan tanda-tanda keradangan kronik, penyempitan kekal serta pembentukan parut pada paru-paru.

Keadaan itu konsisten dengan penyakit dikenali sebagai Bronchiolitis Obliterans atau lebih popular disebut sebagai ‘popcorn lung’.

Beliau menjelaskan istilah tersebut bukan berpunca daripada pengambilan popcorn, sebaliknya merujuk kepada penyakit paru-paru yang pernah dikesan dalam kalangan pekerja kilang popcorn microwave di Amerika Syarikat yang terdedah kepada bahan kimia diacetyl secara berterusan.

“Beberapa kajian mendapati sesetengah cecair vape turut mengandungi bahan kimia seperti diacetyl dan pelbagai bahan toksik lain yang berpotensi mencederakan paru-paru apabila disedut dalam jangka panjang,” jelasnya.

Tambah beliau, kerosakan yang berlaku pada saluran pernafasan kecil sering kali sukar dipulihkan sepenuhnya, menyebabkan pesakit berdepan masalah pernafasan yang berpanjangan.

Menurut Dr. Nurul, antara cabaran terbesar ialah ramai pengguna vape percaya produk tersebut tidak berbahaya kerana dianggap sekadar menghasilkan wap air.

“Hakikatnya paru-paru manusia tidak direka untuk menyedut bahan kimia yang dipanaskan setiap hari.

“Apabila simptom muncul, kadangkala kerosakan yang berlaku sudah terlambat (sukar dipulihkan),” katanya.

Beliau berkata, rawatan bagi pesakit yang mengalami kerosakan paru-paru akibat vape lazimnya melibatkan penggunaan inhaler, ubat anti-radang, rehabilitasi paru-paru dan dalam kes tertentu memerlukan terapi oksigen.

Bagaimanapun, langkah paling penting ialah menghentikan penggunaan vape sepenuhnya bagi mengelakkan kerosakan menjadi lebih teruk.

Menurut beliau, ketagihan nikotin turut menjadi faktor utama yang menyukarkan pengguna untuk berhenti, namun pelbagai kaedah seperti terapi gantian nikotin, perubahan tabiat harian dan sokongan profesional boleh membantu proses tersebut.

Dr. Nurul turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan lebih awal sekiranya mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, sesak nafas, dada terasa ketat, bunyi wheezing atau cepat penat, khususnya bagi mereka yang mempunyai sejarah merokok atau menggunakan vape.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button